Wanita itu sudah tua, namun
semangat perjuangannya tetap menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap
tutur kata yang dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan bualan orang
disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang
pula bercakap dalam bentuk syair. Al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita
itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik dan pandai di kalangan orang
Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr
:
"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku pula
masih teringatkan dia setiap mega hilang dii ufuk barat Kalaulah tidak kerana
terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka, nescaya
aku bunuh diriku."
Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair telah
digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam. Ia mempunyai empat
orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dan dididik berjuang dengan
berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk berjuang demi kemenangan
dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil lagi agar
jangan takut menghadapi peperangan dan cabaran.
Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan
tempur untuk menentang Farsi. Semua Islam dari berbagai kabilah telah
dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai 41,000 orang
tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat
senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam
kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuan
tentera Islam.
Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar lagi akan ke
medan perang, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela
hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu
sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak
pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara-maramu,
aku tidak pernah merendahkan keturuna kamu, dan aku tidak pernah mengubah
perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah s.w.t. kepada kaum muslimin dalam
memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasanya kampung yang kekal itu lebih
baik daripada kampung yang binasa."
Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud, "Wahai orang yang
beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan
kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi orang yang beruntung." Putera-putera Khansa
tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.
Seterusnya Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok pagi, insya Allah
dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu.
Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah s.w.t.. Jika kamu melihat api
pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang
bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan
pertempurannya, semoga kamu akan berjaya mendapat balasan di kampung yang
abadi, dan tempat tinggal yang kekal."
Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang
masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah s.w.t. iaitu solat Subuh, kemudian berdoa moga-moga Allah s.w.t. memberikan mereka
kemenangan atau syurga. Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah
memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik sahaja semboyan perang berbunyi.
Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari ketiga bermulalah
pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam melawan tentera Farsi
yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam mendapat tentangan hebat, namun
mereka tetap yakin akan pertolongan Allah s.w.t..
Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat
dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa takut.
Sambil mengibas-ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka
bersyair,
"Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah
memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang keluar dari
mulutnya bernas dan berfaedah. Insya Allah akan kita buktikan sedikit masa
lagi."
Kemudian ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul pula oleh
anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. Dengan semangat yang
berapi-api ia bersyair,
"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami
Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah bertempur,
segeralah bertarung dan menggempur mush-musuh bersama-sama Sehingga kau lihat
keluarga Kaisar musnah." Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat
dengan beraninya dan bersyair, "Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya,
tetap tegas tidak goncang Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap
dan berakal cemerlang Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat
terhadap anak-anaknya sendiri. Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah
untuk mempertahankan diri Dapatkan kemenangan yang bakal membawakegembiraan di
dalam hati Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang
abadi."
Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul
abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun
bersyair, "Bukanlah aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan Dan
bukanlah pula kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau aku tidak
membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahay,
dan musnah mangsa oleh senjataku." Bergelutlah keempat-empat putera
Khansa dengan tekad bulat untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat
bondanya yang berada di garis belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam
pada mulanya kebingungan dan kacau kerana pada mulanya tentera Farsi
menggunakan tentera bergajah di barisan hadapan, sementara tentera berjalan
kaki berlindung di belakang binatang tahan lasak itu. Namun tentera Islam dapat
mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya.
Gajah yang cedera itu marah dengan menghempaskan tuan yang menungganginya,
memijak-mijak tentera Farsi yang lannya. Kesempatan ini digunakan oleh pihak
Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima perang bermahkota Farsi dapat
dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari lintang-pukang menyeberangi sungai
dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi
kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian kecil sahaja yang dapat
menyelamatkan diri.
Umat Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang gugur.
Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu berjumlah lebih
kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu terbujur empat orang
adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera Islam yang datang
menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat-empat anaknya telah menemui
syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak
bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan,
"Segala puji bagi Allah s.w.t., yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka, dan aku
mengahrapkan darii Tuhanku,
agar Dia mengumpulkan aku dengan
mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"
Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup
dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran Kadisia. Dari
peristiwa peperanan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran kehormatan
'Ummu syuhada yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati syahid."